MyRaffaell Blog

demo

Berita Hot…Azahari


Berita berita di indonesia banyak yang lagi membahas soal azahari, mulai dari kaki tangan Azahari yang udah ketangkep, pencarian M Tob, dan lainya…..bahkan ini terjadi di semua stasiun tv, pokok nya ngga ada satu stasiun tv pun yang ngga membahas ini, kecuali yang MTV ama VH1, ha ha ha ha……doakan agar teroris itu ditemukan…..

Terpedaya cara ‘The Demolition Man’

Bersama Prof Madya Dr Azmi Hassan

SEBAGAI rakan yang mengenali Dr Azahari Husin lebih dua dekad lamanya, berita mengenai cara beliau mengakhiri hayatnya bercampur-baur antara sedih, hiba, marah dan kadangkala melegakan.

Sedih bukan kerana Dr Azahari sudah tiada, tetapi simpati kepada keluarga, saudara dan rakannya yang mungkin kecewa dan terpalit dengan tingkah laku dan pegangan hidup ‘The Demolition Man’ ini.

Kesan pegangan hidup Dr Azahari bukan hanya dirasai oleh mereka yang mengenalnya, tetapi juga memberi tamparan yang mendalam kepada pihak yang secara tidak langsung terheret sama.

Beberapa siri pengeboman di Indonesia seperti di Bali pada Oktober 2002 dan 2005, Hotel JW Marriott pada Ogos 2003 dan Kedutaan Australia pada September 2004, semuanya dipercayai didalangi oleh beliau.

Keempat-empat peristiwa pengeboman itu secara langsung mengorbankan lebih 247 jiwa dan ramai lagi yang menerima kesannya melalui kecederaan atau kehilangan mereka yang dikasihi.

Penulis juga agak bingung memikirkan bagaimana Dr Azahari yang dianggap intelek dan pintar boleh terjebak dalam kegiatan militan dan asing dengan cara hidup rakyat Malaysia.

Penulis juga kecewa kerana gagal membuat interpretasi yang betul kerana beberapa bulan sebelum dia menghilangkan diri pada 2001, sudah nampak bibit perubahan pada dirinya.

Dr Azahari ketika itu lebih gemar bersendirian dan tidak mempedulikan keadaan di sekeliling. Apabila berselisih, Dr Azahari bagai tidak peduli kehadiran rakan sekerja.

Oleh kerana dia begitu dedikasi terhadap kariernya, penulis membuat andaian perubahan sikap itu mungkin kerana terlalu taksub dengan penyelidikan yang sedang diusahakan. Sukar untuk mencuri peluang berbincang atau berbual dengannya pada bulan terakhir sebelum beliau menghilangkan diri, namun dua perkara yang sempat diperbualkan antara kami mengaburi andaian penulis mengenai perubahan sikapnya itu.

Dr Azahari pernah menggelar dirinya sebagai tolol kerana mencabut paku yang terpacak pada tayar keretanya yang ketika itu belum kempis. Dia berkata, akibat perbuatan itu tayar kereta terpaksa diganti dan menyusahkan dirinya.

Dr Azahari walaupun meminati kegiatan lasak, lazimnya berpakaian kemas dan sesuai dengan tempat kerja. Dia pernah mengadu kepada penulis sukarnya untuk mengenakan pakaian kerja yang sepadan warna, terutama hijau kerana dia menganggap dirinya buta warna.

Mungkin Dr Azahari pandai berpura-pura sehinggakan penulis tidak dapat membaca apa yang tersirat atau penulis naif untuk membaca isi hati seseorang.

Pertama kali penulis dan Dr Azahari bertemu ialah pada 1983 apabila baru memasuki alam pekerjaan dan Dr Azahari baru kembali dari Australia selepas menamatkan pengajian di Adelaide.

Ada sesetengah penganalisis berpendapat fahaman radikal Dr Azahari mula berputik sekembalinya dia dari Australia kerana pada ketika itu semangat Revolusi Iran dan Ayatullah Khomeini hangat diperkatakan.

Ketika penulis mula mengenali Dr Azahari, dia lebih berminat untuk berbual mengenai motosikal dan kegiatan lasak. Titik permulaan perkenalan kami ialah ketika Dr Azahari sedang mencari rakan untuk menyertai larian maraton di Kuala Lumpur.

Dr Azahari memperoleh ijazah kedoktoran dari Reading University, England pada 1990 dalam bidang Pengurusan Harta Benda, iaitu cabang ilmu yang jauh berbeza dengan kepakarannya membuat bom.

Penulis menekankan perkara ini kerana ada sesetengah penganalisis yang cuba mengaitkan ijazah kedoktoran Dr Azahari dengan kepakaran membangunkan peledak letupan. Begitu juga dengan andaian dia gemar berpeleseran dengan wanita ketika di Australia sukar diterima berpandukan pengalaman selama 20 tahun penulis mengenalinya.

Pada 1999, Dr Azahari mendapat latihan awal menggunakan senjata api dan mengadun bahan peledak di kem latihan Mindanao, Filipina. Fathur Rohman al-Ghozi adalah anggota Jemaah Islamiah (JI) dipercayai memberi tunjuk ajar itu.

Dr Azahari sekali lagi mengambil cuti panjang pada 2000 dan kali ini dia dikatakan ke Kandahar, Afghanistan untuk mempertajamkan lagi kepakaran membuat bom yang diperoleh dari Mindanao.

Dalam keadaan biasa, penulis atau rakan Dr Azahari sepatutnya dapat membaca isi hati beliau kerana latihan di Mindanao dan Kandahar yang ekstrem sudah tentu mengubah tingkah laku seseorang.

Sekali lagi penulis masih gagal membaca isi hati Dr Azahari yang jika diimbas kembali, dia pada ketika itu begitu licik menyembunyikan perasaan kepada orang di sekelilingnya.

Selepas ketiadaan Dr Azahari, penulis amat berharap keadaan seperti ini akan membawa suasana lebih tenang dengan tiadanya pakar membuat bom dalam JI. Penulis juga amat berharap ilmu membuat bom tidak sempat diperturunkan Dr Azahari kepada pengikutnya.

Walaupun penulis mengenali Dr Azahari lebih 20 tahun dan ironisnya mempunyai tarikh lahir yang sama, cara pelakuan dan pendirian yang diambilnya adalah suatu yang tidak betul walau apa juga sebabnya.

comments powered by Disqus